Islamic Widget

Sabtu, 17 Julai 2010

PERSAUDARAAN MUSLIM JAMBATAN KE SYURGA

Persaudaraan Muslim jambatan ke Syurga




Persaudaraan dalam Islam adalah suatu jalinan aqidah yang menghubungkan umat Islam antara satu sama lain. Ia juga ada kaitan dengan jalinan erat untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang menempati Kota Madinah dan beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mengasihi orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan di dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin) ; dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan sesiapa yang dipelihara kekikiran dirinya mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Surah al-Hasyr : ayat 9).

Persaudaraan sesama muslim adalah ikatan iman paling erat seperti yang dinyatakan Rasulullah di dalam hadis bermaksud: "Ikatan iman yang paling kuat ialah berkasih sayang kerana Allah dan marah kerana Allah."

Daripada perspektif Islam, persaudaraan satu sendi yang menjadi tunjang dalam usaha memperkuatkan binaan masyarakat Islam dan mengeratkan hubungan antara penganutnya. Persaudaraan atas dasar iman sentiasa dijadikan keutamaan di dalam nasihat-menasihati, memberikan khidmat, berkorban dan mengutamakan saudaranya melebihi dirinya sendiri.

Persaudaraan yang diwujudkan Islam mempunyai kedudukan paling tinggi daripada segala-galanya. Ia dapat dilihat kemuncak kepada persaudaraan ini yang terlaksana dengan jayanya pada zaman kehidupan Rasulullah dan sahabat selepasnya. Lanjutan daripada itu, ukhuwwah yang dibina dan dibentuk oleh Rasulullah juga dapat membentuk sebuah negara Islam yang dihormati dan disegani di seluruh dunia.

Imam al-Ghazali di dalam analisisnya membahagikan persaudaraan ini kepada pecahan yang besar iaitu persaudaraan secara pilihan sendiri atau yang diusahakan dan persaudaraan yang berlaku secara kebetulan.

Daripada penganalisaan itu, beliau selanjutnya mengklasifikasikan persaudaraan kepada empat kategori iaitu pertama, persaudaraan atas dasar untuk mendapatkan keseronokan.

Kedua, persaudaraan atas dasar kepentingan diri sendiri. Ketiga, persaudaraan yang diusahakan untuk mendapat kebahagiaan di akhirat seperti penuntut ilmu yang mengasihi gurunya dan seterusnya yang keempat iaitu persaudaraan yang diusahakan hasil cetusan daripada kesedaran iman dan takwa kepada Allah.

Kategori dibuat oleh Imam al-Ghazali itu, marilah kita kembali menilai diri kita adakah persaudaraan yang kita bina selama ini adalah kerana Allah atau sebaliknya. Persaudaraan yang berlandaskan keredaan Allah adalah satu ibadah dan penunaian ibadah itu akan memberi implikasi kebahagiaan, keampunan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Untuk membuktikan ketepatan dan kebenaran persaudaraan yang sempurna dalam kategori yang keempat, Imam al-Ghazali membawakan contoh doa Rasulullah iaitu yang bermaksud:

"Ya Allah berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat."

Oleh itu, sebarang usaha untuk berkasih sayang, cinta mencintai, hormat menghormati, bekerjasama, tolong-menolong dan sebagainya sesama umat Islam yang diniatkan semata-mata kerana Allah adalah ikatan persaudaraan yang sempurna dalam erti kata yang sebenar.

Seterusnya Islam amat memerlukan supaya ikatan persaudaraan dapat mendalami hingga menjadi satu bangunan yang kuat serta saling berpaut antara satu sama lain. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Perumpamaan kaum muslimin yang saling kasih mengasihi dan cinta mencintai antara satu sama lain ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggota berasa sakit maka seluruh tubuh akan turut berasa sakit dan tidak dapat tidur." (Riwayat Bukhari).

Dalam konteks ini, rohani dan jasmani akan terbentuk melalui ukhuwwah yang dipraktikkan dan sentiasa istiqamah dengannya. Ia juga berperanan sebagai 'jambatan emas' ke arah pencapaian keamanan dan kesejahteraan yang diimpikan oleh setiap manusia ke arah menghalang unsur perpecahan dan permusuhan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara. Oleh itu, damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. (Surah al-Hujurat : ayat 10)

Pembentukan jasmani yang didasari melalui ikatan ukhuwwah akan berjaya kerana melaluinya manusia dapat melaksanakan apa saja yang mereka ingini ke arah penyempurnaan keperluan hidup mereka. Persaudaraan Islam juga akan melahirkan semangat untuk bekerjasama, bergotong royong dan saling bantu-membantu dalam memenuhi kesempurnaan dalam hidup.

Tiada ulasan: